Patahnya Sebalah Sayap


Mengisahkan Alisha (Ummi Nazeera), seorang gadis kampung yang telah diberikan ujian percintaan yang berat daripada kekasihnya, Amzar (Izzue Islam). Pada awalnya hubungan mereka amat baik dan harmoni kerana Alisha banyak membantu keluarga Amzar ketika Amzar sedang mencari peluang pekerjaan sebagai seorang peguam. Namun, segalanya berubah apabila Amzar lulus temuduga dan diterima untuk bekerja sebagai seorang peguam di sebuah firma guaman.

Alisha dan Amzar amat teruja apabila impian Amzar untuk menjadi peguam tercapai. Alisha membelikan Amzar pelbagai jenis kemeja agar Amzar selesa bekerja. Atas keterujaan itu, Amzar berjaya membicarakan kesnya yang pertama. Mereka berdua meraikan kejayaan Amzar di kedai makan kegemaran mereka. Amzar juga melamar Alisha dan Alisha menerima lamaran Amzar tanpa syarat dek terlalu gembira.

Selesai mereka menjamu selera, hujan pula turun dengan selebat-lebatnya. Mereka terus gegas ke kereta Alisha dan beransur pulang. Namun, kerana terlalu asyik bergurau, Amzar terlanggar sesuatu ketika mengelak kereta dari arah bertentangan. Dalam keadaan hujan yang lebat Amzar dan Alisha tidak pasti apa yang telah dilanggar mereka. Setelah Amzar turun melihat apa yang dilanggarnya, Amzar kembali masuk memandu dan memberi alasan pada Alisha bahawa mereka hanya terlanggar tong besar dan enggan memberitahu hal sebenar.

Suatu hari, terpampang di dada akhbar mengenai sebuah kes langgar lari dan Alisha yakin bahawa kes itu mempunyai kaitan dengan kejadian malam bersama Amzar. Trauma Alisha makin bertambah apabila sekumpulan anggota polis datang ke rumahnya dan menahannya. Menurut mereka, Alisha adalah suspek utama kes langgar lari yang disiarkan di media massa. Alisha akhirnya dijatuhkan hukuman penjara dua tahun di atas “kesalahannya” itu apabila Amzar yang pada mulanya berjanji akan membela Alisha menyepikan diri dan membiarkan Alisha menanggung akibatnya sendirian. Selepas dua tahun, Alisha dibebaskan dan menjadi tukang cuci di pejabat Kuzairi (Aeril Zafrel), suami kepada mangsa langgar lari Amzar.

Bagaimanakah hubungan Alisha, Kuzairi dan Amzar? Adakah masa depan buat gadis yang bergelar bekas banduan itu?

SINOPSIS Suri Hati MR Pilot


Pertemuan Ejaz, Mr. Pilot dan Warda membuka semula lembaran kisah dua tahun lalu. Peristiwa yang
menyebabkan Warda dibuang keluarga atas kebodohan sendiri yang terlalu taasub dengan cinta Muslim!
Getar yang hadir buat jiwa Warda dan Ejaz kalut sendiri. Ejaz diasak cemburu dengan kehadiran Daniel dan Razif yang turut menyimpan perasaan istimewa pada Warda. Akhirnya dia nekad!
“Ejaz nak kahwin dengan Warda. Kalau boleh secepat mungkin. Tak payah bertunang, Ejaz nak terus
bernikah aje!”
Perkahwinan yang terbina mula menimbulkan bibit cinta di hati mereka. Namun tika bahagia berada di puncak, Muslim kembali menuntut cinta. Inara mula menyusun rencana. Ejaz mula diburu curiga. Hubungan yang retak menanti belah akhirnya runtuh saat satu kemalangan menimpa Ejaz dan meragut pergi semua impian dan cintanya buat Warda dan dunia penerbangan. Masih adakah lagi bahagia buat mereka? Layakkah Warda menjadi suri hati buat Mr. Pilotnya? Atau akan menjadi racun berbisa pada kebahagiaan Ejaz?
“Layakkah aku menjadi suri hati buatnya?”